Timur: Peneroka jual tanah hidup melarat
Oleh Wan Kemat
bhnews@bharian.com.my
MARAN: Sebuah keluarga peneroka Felda, di sini terpaksa hidup menumpang di perkampungan Orang Asli selepas menjual semua tanah untuk mendapat wang tunai segera, kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Hal Ehwal Felda negeri, Datuk Tan Mohd Aminuddin Ishak.
Beliau berkata, selepas kehabisan wang peneroka terbabit kini terpaksa mengambil upah bekerja di ladang kelapa sawit orang lain.
Katanya, masalah itu terbongkar apabila anak peneroka terbabit menemuinya dan memohon kepada kerajaan negeri untuk mendapatkan semula tanah milik bapanya.
"Inilah akibat perbuatan terburu-buru mahu mendapat keuntungan segera tanpa memikirkan risikonya selepas kerajaan menyerahkan geran dan hak milik tanah masing-masing.
"Kita sentiasa menasihatkan mereka supaya tidak berbuat demikian kerana ia hanya mendatangkan masalah bagi tempoh jangka panjang," katanya ketika ditemui selepas merasmikan program bersama peneroka Felda dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Sentul, di Felda Jengka Tiga, dekat sini, semalam.
Tan Mohd Aminuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Chenor juga mendedahkan kira-kira 500 peneroka Felda di Jengka yang memajakkan tanah termasuk kepada warga asing untuk mendapatkan wang segera.
Beliau berkata, ada di kalangan peneroka itu memajak tanahnya untuk tempoh panjang sehingga 10 tahun.
"Tindakan ini tidak wajar dilakukan kerana boleh mendatangkan pelbagai masalah kepada keluarga peneroka sendiri terutama mereka yang mempunyai tanggungan ramai.
"Oleh itu, pengurusan tanah rancangan diminta memantau dan menasihat peneroka supaya tidak menjual atau memajak kegiatan sedemikian demi kepentingan masa depan mereka.
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Wilayah/20090214065939/Article/index_html